PEMAIN Veteran Selangor, Anuar Abu Bakar bertembung barisan pertahanan Veteran Singapura dalam aksi Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi.PEMAIN Veteran Selangor, Anuar Abu Bakar bertembung barisan pertahanan Veteran Singapura dalam aksi Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi.
DUA gol Dollah Salleh dan satu daripada P Maniam memastikan skuad Veteran Selangor muncul pemenang aksi pembukaan Piala Sultan Selangor 2011 dengan menewaskan Veteran Singapura 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi. 

Ia adalah kemenangan kali keenam buat Veteran Selangor selepas kedua-dua pasukan terikat dengan lima kejuaraan termasuk bergelar pemenang bersama pada edisi sulung 2001 manakala pada edisi kesembilan tahun lalu, Veteran Selangor menang 1-0. 
Pada aksi malam tadi, Veteran Selangor tidak menunggu lama apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi rembatan Maniam, jurulatih baru skuad Piala Malaysia Selangor musim ini. 


Dollah menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-12 apabila mudah menolak masuk lorongan Maniam untuk menewaskan penjaga gol Veteran Singapura, Shahri Rahim. 

Singapura merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-16 hasil rembatan jarak jauh pemain gantian, Abdullah Noor yang memerangkap penjaga gol Veteran Selangor, Rashid Hassan. 

20 minit berikutnya, kedua-dua pasukan tampak seperti sudah keletihan tetapi Dollah menjaringkan gol kedua peribadi dan gol ketiga Veteran Selangor pada minit ke-39. 

Antara pemain Veteran Selangor yang beraksi termasuklah Datuk Soh Chin Aun, K Gunalan, Zainal Abidin Hassan, Anuar Abu Bakar, Reduan Abdullah, Shahrin Majid, K Sanbagamaran dan Azlan Johar manakala Veteran Singapura menampilkan antaranya Malek Awab, Suria Murthi, Yahya Madon dan V Sundram Moorthy.