Anuar (kiri) memberikan taklimat kepada barisan pemain sebelum perlawanan bermula.
Anuar (kiri) memberikan taklimat kepada barisan pemain sebelum perlawanan bermula.
PENOLONG jurulatih PKNS FC, Anuar Abu Bakar menyifatkan pelaburan mendapatkan bekas penyerang import Sime Darby FC (SDFC), Patrick Ronaldinho Wleh sememangnya berbaloi, lapor SUBKHI SUDARJI.

Walaupun sentuhan sebenar belum dijelmakan penjaring terbanyak Liga Perdana 2012 ini, namun kebolehan mencipta ruang kepada rakan membuktikan dirinya sememangnya bernilai.

Anuar menjelaskan, setiap kali diturunkan dalam aksi perlawanan persahabatan, tumpuan pertahanan lawan lebih terarah kepada pemain import Liberia itu.
"Pemain lawan akan sentiasa mengekori rapat pergerakan Patrick, namun kelincahan dan kawalan bola yang menarik adalah senjata utama dimilikinya.

"Ketika pertahanan mengawal rapi pergerakannya ia buka ruang kepada rakan sepasukan Nizab Ayub untuk melakukan sesuatu dan inilah yang kita mahukan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang SDFC yang berkesudahan memihak PKNS FC 4-1.

Ujarnya, keserasian Patrick bersama seorang lagi pemain import dari Perancis, Helmi Loussaif semakin mantap hasil beberapa siri perlawanan persahabatan.

"Kepakaran Helmi mengawal bola selain bijak mencipta gerakan buat Patrick di hadapan, kedua pemain ini kian serasi dan mengharapkan berterusan dalam saingan yang bakal bermula bulan depan," katanya.